Saturday, 7 June 2014

Perayaan gawai dayak

Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum pribumi Sarawak, terutamanya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti Dayak di Kalimantan Barat. Kebanyakan kaum-kaum Dayak ini masih tinggal di rumah-rumah panjang dan setengah-tengahnya tinggal berkelompok di kampung-kampung. Ada juga yang sudah tinggal menetap di bandar-bandar untuk mencari pekerjaan dan sara hidup yang lain.
Gawai bermaksud pesta. Jadi, Gawai Dayak adalah Pesta Dayak. Gawai Dayak merupakan hari menyambut tahun baru yang ditandakan dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baru. Ia merupakan musim perayaan pesta-pesta tradisi dan sosial.
Gawai Dayak mula disambut secara besar-besaran semenjak 25 September 1964 apabila Gawai Dayak diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama adalah pada 1 Jun 1965. Sebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil Hari Sarawak oleh pemerintahan Rajah Brooke.

Sebenarnya, Gawai Dayak adalah musim perayaan yang berlangsung selama lebih kurang sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir bulan Jun setiap tahun bagi masyarakat Dayak. Mereka mempunyai beberapa upacara besar yang dijalankan di rumah panjang dan bandar. Hari pertama perayaan jatuh pada 31hb Mei dan hari kedua pada 1hb Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara penutupan pada akhir bulan Jun yang dipanggil menggulung tikar.
Penanaman padi adalah aktiviti utama pada kehidupan orang Dayak sejak dahulu kala lagi kerana beras adalah makanan utama mereka. Selepas tamatnya musim menuai padi, sudah tentunya kaum Dayak mempunyai banyak beras. Jadi, sesuailah masanya untuk meraikan pesta-pesta tertentu yang diperlukan.