Tuesday, 5 May 2015

Sejarah di Gunung dan Bukit di Kuching

Sta'at

Sta'at juga dirujuk sebagai Gading merupakan gunung yang tidak ada kisah yang khusus. Walaupun begitu, ia mendapat banyak perhatian dari aspek flora dan keindahan alam semulajadi. Ia dikenali sebagai gading kerana permukaan gunung dan bukit di sekitar Sta'at terdiri dari batu kapur putih.

Singai

credits: unimas.my
Singai mempunyai sejarah yang tersendiri kerana ia merupakan kawasan Dayak Darat (Bidayuh). Dahulunya, Dayak Darat sering diserang oleh musuh mereka, Dayak Laut (Iban) dari Sungai Saribas. Oleh itu, Dayak Darat membuat perlindungan dan bertempur secara kecil kecilan di atas gunung setinggi 1600 kaki, bersisi curam dan rata di puncak. Percubaan untuk serangan terakhir ke atas Dayak Darat berlaku setelah ketibaan Rajah Pertama namun ia gagal. Dayak Laut menyangka Rajah Pertama seorang yang pemurah, maka mereka meminta kebenaran Rajah untuk menumpaskan Dayak Darat. Namun Rajah tidak bersetuju dengan permintaan mereka. Memandangkan Rajah pada masa itu belum ditabal dan hanya memegang gelaran Tuan Besar, Dayak Laut meminta kebenaran Raja Muda Hashim yang menjadi wizurai di Sarawak. Permintaan mereka pun diluluskan dengan syarat; pembesar Melayu dibenarkan mengambil harta rampasan dan wanita Dayak Darat yang ditangkap untuk dijadikan hamba. Namun, Rajah segera menghantar bantuan setelah dimaklumkan tentang perkara itu dan serangan berjaya dipatahkan. Akibat serangan itu, Dayak Darat hidup ketakutan dan menetap di atas gunung itu untuk 100 tahun. Apabila keamanan dan keselamatan ras dan suku terjamin di Sarawak, kebimbangan lama mereka pun hilang dan kini menetap di kaki gunung.

Serembu
credits: Martin Laverty
scribd.com
Sejarah  Serembu hampir sama seperti Singai. Dayak Laut melakukan serangan terhadap Dayak Darat. Mereka bercadang mahu menyerang dari Sungai Sadong agar serangan mereka tidak mendapat perhatian dari Rajah yang sering masuk campur. Sebetulnya, tidak ada sebab untuk Dayak Laut menyerang Dayak Darat memandangkan Dayak Darat tidak pernah ambil peduli tentang Dayak Laut. Namun, pertempuran sering terjadi di situ demi mendapatkan harta rampasan dan juga piala kepala manusia. Pada satu kejadian di situ, Rajah hampir dibunuh oleh seorang pembesar Melayu yang cemburu dengan kuasa Rajah. Pembesar Melayu itu cuba merejam Rajah dengan lembing namun tidak mengena. Kemudian Pembesar Melayu itu berpura-pura kononnya mahu merejam musuh tetapi salah sasaran. Berbalik dengan kisah serangan Dayak Laut terhadap Dayak Darat, Rajah berjaya mematahkan serangan tersebut dan mengusir Dayak Laut dari Serembu. Seterusnya, Rajah membina rumah rehat di kawasan gunung tersebut, dikenali sebagai Peninjau dan ia dijadikan tempat bersukan serta bercuti. Rumah Peninjau itu diperbuat daripada kayu belian dan tidak mudah untuk mencari kedudukan rumah rehat tersebut kerana ia melibatkan beberapa pendakian, melewati sungai dan beberapa buah kampung Dayak serta curam hampir 70 darjah. 

credits: ibanorum.netfirms.com
Matang

Matang ialah banjaran gunung. Puncak tertingginya ialah Serapi dengan ketinggian 3000 kaki. Dahulunya, Matang bermaksud 'pencinta kedamaian.' Namun, maksud sebenar Matang ialah 'banjaran panjang' manakala dalam bahasa Iban pula ia membawa maksud 'pelindung.' Matang terkenal kerana keindahan saat matahari terbenam sehingga pelukis terkenal masa dahulu menyatakan bahawa Matang adalah yang terbaik untuk menikmati matahari terbenam. Tetapi, di sebalik keindahan matahari terbenam di Matang, wujud kekecewaan dan kerugian dari segi tanaman komersial. Teh dan kopi yang ditanam di Matang tidak menjadi akibat iklim yang tidak sesuai. Sumber kewangan merosot. Buruh-buruh India yang diambil oleh Rajah Kedua untuk pekerjaan tersebut juga mengalami kesulitan kerana ladang ditutup. Maka, buruh-buruh India berpindah, bekerja di jalan-jalan Kuching, berkahwin dengan wanita Melayu dan Dayak tempatan. Lama-kelamaan, mereka menjadi tidak fasih bahasa ibunda sendiri. Pada tahun 1930an, terdapat cubaan untuk menghantar buruh-buruh itu pulang semula ke tanah asal mereka bagi mengatasi masalah kemelesatan ekonomi. Tetapi buruh-buruh itu mengalami kesulitan untuk bergaul semula di tanah asal akibat tidak fasih bertutur bahasa ibunda dan akhirnya Rajah Ketiga membenarkan mereka menetap di Kuching kerana berasa simpati. Di Matang juga, terdapat banglo yang dibina oleh Rajah Kedua sebagai tempat bercuti. Memandangkan Matang gagal dalam tanaman komersial, ia dijadikan hab untuk pembekalan air paip di Kuching pada 1902 dan berjaya menamatkan wabak taun. Rasa air dari Matang dikatakan segar, sedap dan manis malah terdapat pepatah di kalangan orang Eropah pada zaman dahulu yang menyatakan bahawa "Sekali anda merasa air dari Matang, hati anda akan sentiasa berada di Sarawak."

Santubong

Santubong, sebuah gunung terkenal di Kuching malah terkenal di Sarawak. Ketinggiannya 2700 kaki. Tarikan terbesar gunung ini ialah legenda dua orang puteri iaitu Santubong dan Sejinjang. Selain dari itu, ia juga merupakan tapak utama arkeologi, khususnya dari segi sejarah penempatan orang Melayu Santubong, perdagangan maritim antara Santubong dan China, bekas-bekas pendudukan Hindu dan kesenian primitif. Santubong ialah tapak kediaman orang Melayu Sarawak yang berundur dari serangan Dayak Laut yang kerap menyerang mereka di Lidah Tanah. Pada masa dahulu, ketika musim landas (hujan) di Kuching, penduduk akan turun ke kawasan anak-anak sungai dan mendulang emas. Aktiviti tersebut menyumbang pendapatan mereka, kira-kira 20 ringgit sebulan, satu jumlah yang agak besar pada masa dahulu. Terdapat teori mengatakan bahawa Santubong dan Bau terletak di dalam satu garisan lurus dan taburan deposit emas ada di kawasan tersebut.

Penrissen

Gunung Penrissen from Borneo Highlands golf club (Chris Whiting, 2008)
credits: Chris Whiting 2008
gunungbagging.com
Penrissen sering dikelirukan dengan Sta'at walaupun Penrissen sebenarnya terletak lebih jauh. Kira-kira 20-30 batu lagi dan tiga kali lebih tinggi dari Sta'at. Penrissen terletak 5km dari Annah Rais LongHouse dan berhampiran dengan sempadan Indonesia. Tarikan terbesar Penrissen ialah kekayaan tumbuhan yang berguna dalam bidang perubatan dan juga Borneo Highland yang terletak berhampiran. Namun, puncak tertinggi Penrissen terletak di kawasan Kalimantan Barat. Tidak ada sejarah khusus mengenai Penrissen tetapi terdapat kemungkinan Penrissen merupakan laluan masuk orang Dayak dari Kalimantan Barat ke Sarawak memandangkan Penrissen terletak di antara sempadan Sarawak dan Indonesia.