Wednesday, 12 August 2015

Kisah Sarawak Pernah Diserang Lanun Sulu 1862



Sekitar tahun 1800an, kegiatan lanun di wilayah Sarawak amat berleluasa sekali. Lanun-lanun ini adalah terdiri daripada lanun-lanun Sulu yang berasal dari Selatan Filipina. Kekejaman lanun-lanun ini memang tiada taranya pada zaman itu ditambah dengan kegiatan mereka yang suka merompak kapal-kapal dagang yang berurusan dengan Sarawak dan juga menyerang kampung-kampung di persisiran pantai Sarawak. Lanun-lanun ini bukan sahaja akan merompak dan membakar kampung-kampung malah mereka juga menculik ramai wanita dan budak-budak kecil untuk dijadikan hamba abdi di dalam perahu-perahu mereka. Dikatakan bahawa perahu-perahu lanun ini adalah perahu layar yang bersaiz besar dengan berukuran 40 kaki panjang dan 10 kaki lebar dan mampu untuk memuatkan 100 orang lanun serta dilengkapi peralatan peperangan yang cukup seperti meriam dan sebagainya.
Rajah Brooke tidak menyenangi aktiviti ini kerana ianya telah menganggu keamanan rakyat Sarawak lebih-lebih lagi ianya menganggu gugat perdagangan Sarawak dengan dunia luar. Untuk itu pada November 1862, Rajah Brooke telah mengarahkan anak saudaranya iaitu Rajah Muda, Kapten John Brooke untuk ke Bintulu dan membina sebuah kubu di sana. Maka berangkatlah Rajah Muda dengan Kapalnya “Raibow” yang lengkap dengan segala bentuk peralatan perang seperti meriam yang akan digunakan untuk pertahanan di kubu yang dibina kelak. Disamping itu terdapat sebuah kapal penggempur “Jolly Bachelor” yang diketuai oleh Kapten Hewat juga mengusuli Rajah Brooke menyusuri persisiran pantai Sarawak ke Bintulu. Sewaktu menuju ke Bintulu inilah, Rajah Muda mendapat perkhabaran bahawa pelabuhan Mukah sedang diserang oleh lanun-lanun dan Rajah Muda ini maka tanpa berlengah telah mengarahkan kapal dan anak kapalnya ke Mukah. Sesampai di perairan Mukah, pertembungan kedua-dua kapal dengan perahu lanun pun bermula dan di dalam pertempuran itu armada laut Rajah Muda berjaya menenggelamkan 6 buah perahu lanun dan berjaya menyelamatkan tebusan-tebusan rakyat Sarawak yang dijadikan hamba abdi di perahu-perahu tersebut.
Hakikatnya di dalam Perang Mukah ini, armada Rajah Muda sebenarnya telah mengalami kerosakan yang teruk dan amat sukar untuk dibaiki dalam kadar segera sekiranya peperangan ini berlanjutan. Tetapi masa amat menyebelahi armada Rajah Muda kerana taktik peperangan yang digunapakai oleh Rajah Muda telah berjaya melemahkan angkatan lanun-lanun itu. Mangsa-mangsa penculikan lanun-lanun ini terdiri daripada penduduk persisiran Sarawak, pedagang-pedagang dari China dan Singapura serta 2 orang rakyat Inggeris telah dibebaskan di pelabuhan Mukah. Di dalam peperangan Mukah ini juga seramai lebih daripada 100 orang lanun yang terkorban dan ramai lagi yang mampu meloloskan diri dengan perahu-perahu kecil menuju ke laut luas. Diceritakan bahawa sepanjang berada sebagai hamba abdi di atas perahu lanun-lanun ini, kesemua tahanan telah diseksa dengan begitu zalim sekali. Mereka hanya diberikan minum air tawar yang sudah dicampur dengan air masin laut. Jika mangsa culikan terlalu letih dan tidak terdaya untuk berdayung maka mereka akan diseksa dengan menggosokkan cili merah ke mata mereka agar mereka kepedasan dan terus mendayung. Dan ada juga mangsa penculikan akan dibelasah dengan teruk dan sekiranya menemui ajal akan dibuang terus ke laut.
Inilah sekelumit sejarah tentang Peperangan Mukah yang berlaku diantara armada laut Rajah Muda John Brooke anak saudara Rajah James Brooke dengan lanun Sulu pada November 1862. Peperangan ini telah menandakan satu detik sejarah di dalam sejarah lama pembentukan Negara Sarawak yang lebih stabil dan makmur.

Borneo Oracle ♥ Sarawak’s History


Sources: Sellick, Douglas R. G. (2010). Pirate Outrages: True Stories of Terror on the China Seas. Freemantle Press.