Thursday, 13 August 2015

Sejarah Borneo Airways

SEJARAH SYARIKAT PENERBANGAN YANG PERNAH BEROPERASI DI SARAWAK - BORNEO AIRWAYS



Dari Facebook Borneo Oracle



Sebut sahaja Air Asia sudah tentu ramai rakyat Sarawak terbayang akan tambang murah yang disediakan dan apabila disebut Malaysia Airlines System tentu ramai yang terbayang layanan kelas pertama apabila menjadi penumpangnya. Tetapi apabila disebut Borneo Airways mungkin ramai rakyat Sarawak terutama sekali generasi muda Sarawak terpinga-pinga, pernah wujudkah syarikat penerbangan seperti itu di Sarawak? Jawapannya pernah tetapi syarikat penerbangan ini hanya wujud suatu ketika dahulu dan inilah syarikat penerbangan yang menjadi nadi kepada pengangkutan udara ke seluruh Pulau Borneo yang mencakupi Sarawak, Sabah dan Negara Brunei Darussalam. Inilah Sejarah Syarikat Penerbangan Yang Pernah Beroperasi Di Sarawak iaitu Borneo Airways.

Ketika Sarawak, Sabah dan Brunei masih lagi menjadi tanah jajahan Koloni British yang dikenali sebagai pentadbiran British Borneo, pihak British Borneo telah menubuhkan sebuah syarikat penerbangan yang dikenali sebagai Borneo Airways Limited. Syarikat Borneo Airways Limited ini merupakan penghubung kepada ketiga-tiga negara ini kepada dunia luar melalui penerbangan udaranya ke Singapura selain menghubungkan penerbangan udara antara 3 negara jajahan British ini. Borneo Airways Limited beroperasi sekitar tahun 1950an sehingga 1965. Penerbangan Borneo Airways Limited ini bukannya bertindak sebagai penerbangan awam iaitu penerbangan mengangkut penumpang tetapi juga bertindak sebagai kapal kargo yang membawa semua mel udara dan lain-lain lagi. Bagi pegawai-pegawai British yang bertugas di Borneo pada ketika itu sudah tentu banyak mel udara dan kargo untuk keluarga mereka di England jadi kesemua ini akan dihantar ke Singapura sebelum diteruskan untuk penerbangan yang seterusnya daripada Singapura dan ke seluruh dunia pada masa itu.

Sekitar tahun 1962, telah berlaku satu pembelian asset dan saham yang menjadi milikan kepada Sabah Airways Limited iaitu satu syarikat penerbangan yang dipunyai oleh Straits Steamship Company Limited. Dikatakan bahawa Sabah Airways Limited menghadapi kekurangan dana untuk beroperasi jadi memerlukan injeksi modal untuk meneruskan perniagaan mereka jadi Borneo Airways Limited telah membeli saham-saham Sabah Airways Limited dan akhirnya setelah pendaftaran semula perniagaan maka Borneo Airways Limited telah ditukar nama kepada Borneo Airways.

Apabila Sarawak dan Sabah membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan Malaya pada tahun 1963, kesemua hal ehwal kargo dan mel udara daripada Sabah dan Sarawak telah diuruskan oleh Malayan Airlines yang menjadi penghubung kepada Sarawak dan Sabah kepada dunia luar. Ketika itu Borneo Airways terus meneruskan perkhidmatan untuk penerbangan tempatan antara Sarawak dan Sabah serta Brunei. Malayan Airways yang kemudiannya bertukar nama kepada Malaysian-Singapore Airlines terus memainkan peranan untuk menghubungkan Kuching dan Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur dan Singapura pada masa itu. Pada tahun 1965, Singapura telah keluar daripada Gagasan Malaysia atas sebab-sebab tertentu dan Negara Singapura telah menubuhkan syarikat penerbangan sendiri yang dikenali sebagai Singapore Airlines. Malaysia pula telah menukar nama syarikat penerbangannya daripada Malaysia Singapore Airlines kepada Malaysia Airlines. Dan pada tahun itulah juga kesemua saham-saham dan milikan Borneo Airways dibeli oleh Malaysia Airlines System dan kesemua urusan pengangkutan udara telah didominasi oleh MAS. Sejak daripada itu Borneo Airways terus tidak digunakan lagi dan terkubur.

Sepanjang Borneo Airways beroperasi di Sarawak, Borneo Airways sebenarnya tidak menyediakan kaunter jualan tiket penerbangan sebaliknya sepanjang operasi, ianya telah melantik Sarawak Steamship Limited yang beribu pejabat di Kuching, Sarawak sebagai agen jualan tiket mereka bagi wilayah Sarawak pada waktu itu. Namun setelah perniagaan bertukar ianya tidak lagi menjadi agen jualan tiket sebaliknya Malaysia Singapore Airlines dan seterusnya Malaysia Airlines System menguruskan kesemua urusan perniagaan melalui kaunter mereka sendiri.

Sekitar tahun 1997, “Borneo Airways” sekali lagi ditubuhkan tetapi ianya adalah berlainan entiti perniagaan kerana pada masa itu Royal Brunei Airlines telah memutuskan perniagaan mereka dengan Hornbill Skyways. Namun begitu “Borneo Airways” yang baru setahun beroperasi ini sekali lagi lenyap daripada sejarah penerbangan di Sarawak apabila sekali lagi ianya ditutup setelah beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Inilah sekelumit sejarah syarikat penerbangan di Sarawak yang pernah gah mendominasi ruang udara antara Sarawak, Sabah dan Brunei suatu ketika dahulu yang akhirnya terus hilang di dalam lipatan penerbangan di Sarawak mahupun Pulau Borneo sekarang. Semoga sejarah ringkas ini akan dapat membantu generasi Sarawak mengenal suatu nama yang pernah berjasa kepada kita rakyat Sarawak suatu waktu dahulu.

Borneo Oracle Borneo Airways