Thursday, 7 February 2019

THE SWITZERLAND OF THE EAST” - Tambunan, Sabah, Borneo

MENYEBUT nama satu negara iaitu Switzerland sudah tentu kita akan dapat membayangkan betapa indahnya negara tersebut.  Dalam pada itu acapkali kita di Borneo lupa bahawa di bumi kita berpijak ini juga mempunyai satu lokasi yang terkenal dengan jolokan nama “The Switzerland Of The East”.  Tambunan, Sabah itulah lokasinya kerana inilah antara daerah pedalaman yang memukau dan indah di Sabah. Cuacanya yang dingin dan pemandangan alam semulajadi yang indah akan membuatkan anda terpesona seakan-akan berada di luar negara.

Namun bukan itu alasan utama mengapa daerah pedalaman ini mendapat jolokan sebagai Switzerland of the east, corak perkampungan serta warna lanskap pertanian kawasan lembah ini yang seakan-akan mirip dengan negara Switzerland menjadikan daerah ini mendapat gelaran sedemikian.

Di sebalik pesona keindahan daerah pedalaman yang turut menjadi antara pintu masuk ke kawasan pedalaman atas yang lain, terdapat himpunan kisah turun-temurun mengenai daerah ini. Ada yang mengatakan daerah Tambunan mendapat nama hasil daripada gabungan dua nama tempat yang didiami etnik dusun Tambunan satu masa lalu iaitu Gombunan (kawasan dataran) dan Tamadon.

Selain daripada lanskap pertanian dan alam semulajadinya yang membuatkan Tambunan terkenal dengan jolokan Switzerland of The East, daerah ini juga turut dikenali dengan lagenda Tajau (tempayan) besarnya yang dikenali sebagai Gantung Sorili. Terdapat dua kisah terkenal yang melingkari keberadaan tajau besar ini di bumi Tambunan.

Salah satunya adalah kisah Bobolian tua bernama Sogunting yang menjadi perantara damai antara puak atau etnik tempatan yang sering bertelagah sekitar tahun 1700 sehingga 1800 an. Pada sekitar era ini, Pomogunan (Sabah) kerap dilanda persengketaan kaum yang tiada kesudahan. Pertelingkahan ini bukan sahaja terjadi antara sesama etnik Dusun, akan tetapi turut melibatkan etnik Dusun dengan suku-suku pribumi yang lain.

Peristiwa pertelingkahan etnik sehingga mencetuskan pertumpahan darah mencapai kemuncak apabila Huguon Siou (Gelaran untuk pahlawan Dusun yang berani) Bouvang dari suku Dusun Tanggara memimpin serangan ke atas penempatan etnik Dusun Liwan di Sunsuron. Etnik Dusun Tanggara pada masa itu turut bermusuhan dengan empayar Brunei yang telah menaungi beberapa wilayah di Pomogunan sejak zaman-berzaman.

Tidak berdiam diri dengan serangan yang diterima, etnik Dusun Liwan turut membalas apabila mereka turut menyerang Ulu Putatan yang hari ini dikenali sebagai Penampang. Episod pertelingkahan kaum ini terus berlarutan apabila etnik Dusun Lotud yang terkenal sebagai antara etnik yang terkuat pada masa itu kerap memimpin ekspedisi perang mengayau (pemburuan kepala) ke Kiulu dan sekitar Tamparuli, Kiau, Bundu Tuhan di sekitar Ranau bahkan sejauh Kudat.

Perang Pogunan pada tahun 1885 pula melibatkan suku Dusun Liwan dan Tagahas, persengketaan terjadi apabila mereka saling berusaha untuk menguasai Pogunan yang merupakan antara kawasan perdagangan penting pada masa itu. Lain pula halnya yang terjadi di Tuaran. Etnik Dusun Tuaran terlibat dengan kancah peperangan antara etnik Irranun dan Empayar Brunei, sementara etnik Dusun Membakut juga turut memerangi empayar Brunei dan etnik Dusun di Kimanis. Bagi etnik Dusun yang menetap di pedalaman Kota Belud, mereka terlibat dengan peperangan di antara suku Bajau dan Irranun.

Pokoknya, persengketaan kaum pada masa itu seakan-akan sudah menjadi makanan sehari-hari semua orang. Sogunting, Bobolian yang telah lanjut usia dan menetap di Tambunan menerima perkhabaran ini dengan dukacita. Persengketaan kaum yang merebak dari satu kawasan ke kawasan yang lain ibarat sumpahan Rogon, semangat jahat yang sangat ditakuti etnik Dusun. Orang-orang yang hidup pada zaman beliau senantiasa berada dalam ketakutan dan kekhuatiran untuk melangkahkan kaki ke mana-mana. Aktiviti pertanian yang menjadi nadi suku-suku pedalaman dan pesisir Pantai Barat turut terjejas. Bendang dan huma sukar dikerjakan, kalaupun mereka hendak turun bertani, mereka terpaksan turun dengan jumlah yang ramai lengkap bersenjata kerana khuatir akan diserang lebih-lebih lagi oleh para pengayau yang melakukan pemburuan kepala.

Wanita yang arif lagi bijaksana ini mengambil kata putus. Perdamaian harus segera dicari, atau persengketaan antara etnik itu akan menghancurkan Pomogunan andai gagal diatasi. Pada masa itu, terdapat beberapa tokoh Pengayau yang cukup terkenal seperti Bungkar, Sambatang, Rumantai, Bihangan, Gondiran, Montuk, Bouvang, Gantang, Ongkor, Dolumpung, Kandurong, Sindayan dan sebagainya yang datang dari pelbagai suku.

Langkah pertama diambil, Bobolian yang arif ini memanggil semua tokoh Pengayau, para Bobolian dan Wayon-Wayon (ketua setiap suku) untuk berhimpun di pohon ‘Nunuk Ragang’ (pohon ara) besar yang terdapat di daerah Tambunan pada masa itu. Beliau juga dikatakan turut memanggil wakil daripada etnik Bajau pesisir.
Perhimpunan besar yang dihadiri setiap wakil suku dan tokoh-tokoh penting mereka dari segenap Pomogunan yang terlibat dengan insiden pertumpahan darah berlangsung selama sepuluh hari. Menurut cerita, sebanyak 16 ekor kerbau disembelih bagi menampung makanan para tetamu yang hadir sepanjang berlangsungnya pertemuan bersejarah itu.

Semua yang terlibat memberikan pendapat dan pandangan masing-masing. Apabila kata putus dicapai, upacara perdamaian pun dijalankan. Bagi tujuan itu sebuah tajau besar dibina yang kemudiannya dinamakan sebagai Gantung Sorili.

Bobolian Sogunting mengetuai upacara perdamaian dengan menyuruh setiap “Wayoon Payat (pemimpin puak) dan Luguan Susumangod (panglima/pemimpin pasukan) untuk meletakkan tangan mereka di atas tajau tersebut.

Masing-masing dikehendaki mengucapkan sumpah untuk berdamai. Nama Kinohoringan diseru untuk merestui upacara perdamaian itu. Menurut salah satu catatan mengenai upacara perdamaian dalam buku, H. Ling Roth, kaum Dusun mengadakan upacara perdamaian dengan pertama berseru pada Kinorohingan dengan teriakan keras sambil membacakan “rinait.” (Mantera).

Kemudian Bobolian akan memeterai sumpah yang diucapkan itu dengan perantaraan api (ranting kayu berbara), air (menumpahkan air dari bambu ke dalam tajau) dan tanah. Kemudian Bobolian akan mengambil sumpit, kemudian menyumpit ke arah langit untuk memanggil Kinorohingan sebagai saksi upacara tersebut.

Setelah usai upacara perdamaian barulah persengketaan antara kaum ini selesai. Aktiviti pertanian dan perdagangan kembali rancak. Tidak ada lagi yang perlu dikhuatirkan apabila mereka turun ke bendang untuk bersawah atau berhuma di bukit. Bahkan aktiviti pemburuan kepala atau peperangan antara etnik hampir-hampir tidak ada. Jasa Bobolian Sogunting dalam mengembalikan keamanan pada Pomogunan terus diceritakan dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Uniknya, kisah beliau ini kita boleh dapati pada hampir setiap literatur lisan etnik-etnik di Sabah khususnya yang mendiami kawasan Pantai Barat.

Kisah Gantung Sorili yang kedua dikatakan bermula daripada pengalaman seram seorang pemuda yang menetap di salah satu desa di daerah Tambunan berabad-abad yang silam. Dikatakan pada suatu hari pemuda ini seperti biasa keluar ke hutan untuk menjala di sungai.

Leka menjala ikan, beliau tidak sedar bahawa hari telah beransur gelap. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk tidur di dalam hutan dengan berselimutkan jala yang dibawa. Apabila tiba waktu tengah malam beliau terjaga kerana mendengar suara-suara orang ramai sedang bercakap. Bimbang dengan keselamatannya, dia mematikan diri.

Ternyata suara-suara yang bercakap-cakap itu kononnya makhluk Bunian yang mendiami hutan berkenaan. Apabila ketua pada makhluk itu ternampak pemuda yang sedang berbaring itu, dia menyangka pemuda itu telah tercedera di seluruh tubuh kerana samar-samar tubuh pemuda itu terlihat seperti demikian, walhal lubang-lubang yang terdapat pada jala itulah yang menghasilkan ilusi bahawa tubuh pemuda itu sedang terluka.

Kerana niat untuk menolong, dikatakan makhluk itu telah memasukkan tubuh pemuda itu kedalam tajau ajaib milik mereka. Namun tajau berkenaan tidak dapat memuatkan tubuh pemuda itu. Mereka mencuba tajau yang lain, berulang-ulang sehingga akhirnya mereka berjaya memasukkan tubuh pemuda itu pada sebuah tajau yang sangat besar.

Namun apabila fajar menyingsing, makhluk-makhluk berkenaan secara tergesa-gesa menghilangkan diri meninggalkan tajau besar milik mereka. Kejadian mistik itu segera diadukan pemuda itu apabila dia kembali ke desa nya. Kemudian tajau besar itu dibawa kembali ke rumah pemuda itu dengan bantuan penduduk kampung.

Menurut penceritaan daripada penduduk kampung Widu, tempat di mana tajau misteri ini berada, pernah satu ketika tajau ini tiba-tiba dipenuhi air, dan untuk selama beberapa ratus tahun, air itu tidak pernah kering. Ajaibnya lagi, di dalam air itu terdapat beberapa ekor ikan yang juga ikut hidup sepanjang air itu tidak kering. Malangnya dikatakan orang-orang kampung telah melanggar satu pantang larang sehingga menyebabkan air menjadi kering dan ikan-ikan tersebut turut hilang.

Demikian lah, kisah menakjubkan di sebalik tajau Gantung Sorili di Tambunan. Tajau sememangnya merupakan satu objek mistik yang menjadi sebahagian daripada elemen penting dalam etnik pribumi di Sabah khususnya etnik Dusun dan Murut. Tajau Gantung Sorili bukan satu-satunya tajau yang memiliki lagenda tersendiri di Sabah, sebaliknya terdapat beberapa buah tajau lagi seperti “Gurunon” yang ada di Bongawan dan tajau Tompok atau Haing/Naga yang terletak di Tuaran.

Tajau-tajau ini kononnya sama ada dikurniakan oleh “Kinohoringan” atau pemberian daripada naga. Bahkan kaum Dayak khususnya etnik Iban turut menganggap tajau sebagai satu bentuk perlambangan ataupun status seseorang. Satu kepala musuh atau dua orang tawanan perang, sama nilainya dengan dua tajau jenis rusa. Bahkan seorang ketua juga akan kehilangan wibawa apabila tidak memiliki tajau.

Bahkan tajau juga turut dipuja oleh etnik Dusun lama seperti lagenda yang terdapat dalam kalangan suku Dusun Bonggi. Dikatakan praktik pemujaan tajau dalam kalangan suku berkenaan dimulakan oleh Sidomon, sosok ghaib yang mendakwa berasal dari kayangan. Sidomon dikatakan menemui banyak tajau di atas puncak sebuah gunung dan kemudian mengasaskan zon pemujaan tajau suku Dusun Bonggi di Pulau Banggi.

KONKLUSI

Seandainya anda berhajat untuk berkunjung ke Tambunan, anda pasti tidak akan menyesali percutian anda. Sesuai dengan gelaran sebagai Switzerland Timur, terdapat beberapa destinasi yang berbaloi untuk dikunjungi. Antaranya air terjun Mahua yang terletak 12 kilometer dari pekan Tambunan. Selain air yang jernih dengan air terjun yang berketinggian 50 kaki, terdapat satu bongkah batu yang mirip wajah manusia sedang tersenyum di persekitaran kawasan air terjun ini.

Selain itu, para pengunjung juga boleh menyaksikan batu gong tambunan yang terletak di kampung Solibog. Bunyi yang terhasil daripada batu ini menyerupai gong yang juga sebahagian daripada alat muzik tradisi etnik Dusun. Adat benda pelik seperti batu gong, pastinya memiliki kisah misteri yang menunggu untuk dirungkaikan.

Seandainya anda berfikir bahawa Gunung Kinabalu adalah satu-satunya gunung yang wujud di Sabah, anda silap. Gunung Trusmadi, gunung yang menjadi tulang belakang kepada daerah Tambunan merupakan gunung kedua tertinggi di Negeri Di Bawah Bayu dan juga di Malaysia. Menerusi ketinggian 8669 kaki, ia kerap menerima kunjungan daripada penggemar aktiviti sukan lasak luar negara. Secara keseluruhan Tambunan menawarkan lebih 14 buah tarikan pelancongan untuk dilawati.

Tajau Gantung Sorili, memiliki dua kisah lagenda menakjubkan di sebalik signifikan kewujudannya kepada latar kebudayaan etnik pribumi di Borneo Utara. Menerusi kisah Bobolian Sogunting, kita dapat memperolehi pengajaran bahawa persengketaan kaum merupakan sesuatu yang sia-sia dan hanya mengundang perpecahan yang akan menjadi punca kejatuhan sesuatu bangsa.

Secara peribadi saya merasa sangat dekat dengan versi Bobolian Sogunting kerana kisah wanita menakjubkan ini boleh didapati pada setiap literatur lisan etnik-etnik di Sabah. Bukan bermaksud kita menolak sepenuhnya versi yang kedua, namun pada setiap kisah lagenda yang teranyam kemas sebagai cerita rakyat yang menghiburkan, terdapat sesuatu di sana yang memerlukan kita untuk mengkaji sejauh mana lagenda ini bersumberkan sejarah daripada tokoh yang sebenar, sehingga menjadikan kita lebih peka dan menghargai sejarah warisan leluhur dan berfikir secara kritis, di sebalik hanya mampu terbuai dan menjadikan ia hanya sebuah ‘a bedtime story’ yang mengkhayalkan.

-SAM-

#SayangSabah
#SayangSarawak

CREDIT PHOTO to Nordinwan via panoramio.com with caption entitle “Padi Fields Of Kpg. Sunsuron, Tambunan”.

Rujukan:

1. https://www.facebook.com/Tambunan-our-Hometown-28083023563…/
(Tajau di kalangan kaum peribumi Borneo dan Legenda Tajau "Gantung Sorilih," Kg. Widu, Tambunan, North Borneo).
2. http://www.waktusolat.net/…/misteri-kampung-widu-tambunan.h…(Misteri Kampung Widu).
3. http://www.sentiasapanas.com/…/lokasi-pelancongan-menarik-d… (14 Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Tambunan).

Sunday, 3 February 2019

Bidayuh

SARAWAK merupakan tanah kelahiran saya.SARAWAK mempunyai banyak kepelbagaian kaum dan suku kaumnya.Antaranya adalah suku kaum Bidayuh yang merupakan salah satu suku kaum dalam puluhan suku kaum yang mendiami Bumi Kenyalang, Negeri Sarawak.

Masyarakat kaum Bidayuh merupakan antara salah satu suku kaum yang merupakan bumiputera Sarawak bersama masyarakat bumiputera yang terdiri dari pelbagai etnik.
ASAL USUL PERKATAAN BIDAYUH

Dalam bahasa Bidayuh, ‘Bi’ bermaksud ‘orang’ dan ‘Dayuh’ bermaksud ‘Darat’. Oleh itu, Bidayuh bermaksud ‘Orang Darat’. Bidayuh dikenali sebagai Dayak Darat oleh orang Eropah pada masa dahulu untuk membezakan mereka daripada masyarakat Iban (Dayak Laut). Bagi Dayak Laut, perkataan ‘Laut’ digunakan disebabkan mereka sudah pandai menggunakan perahu walapun tinggal di pedalaman. Tidak seperti orang Bidayuh, mereka tiada kemahiran menggunakan perahu semasa kedatangan orang Eropah.

BIJAGOI DAN BISINGAI DI DAERAH BAU

Bijagoi dan Bisingai ialah dua kumpulan sub etnik Bidayuh yang berbeza tetapi disatukan kerana tinggal di daerah yang sama iaitu Daerah Bau. Bijagoi berasal dari Gunung Bratak, iaitu tempat asal masyarakat Bidayuh yang bermigrasi dari Sungkung, Kalimantan Barat. Sekitar tahun 1838, Bijagoi berpindah dari Bung Bratak ke Gunung Jagoi disebabkan serangan orang Iban Skrang dari Sri Aman. Bijagoi tinggal di puncak Gunung Jagoi yang berketinggian 1,162 kaki dari aras laut. Oleh sebab itu mereka dikenali sebagai Bijagoi, yang bermaksud “orang-orang Gunung Jagoi”.
Bisingai mendapat nama dari Panglima Ma Ganai @ Rangai, iaitu Panglima (Togung) yang memimpin pengikutnya dari Sungkung ke Gunung Singai. Pada mulanya, mereka menamakan Gunung Singai sebagai ‘Dorod Gonai’. Akan tetapi mereka memanggilnya sebagai ‘Dorod Singai’ sehingga kini.

5 KUMPULAN BIDAYUH DAERAH BAU

1.Kumpulan Singai
2.Kumpulan Jagoi/ Bratak
3.Kumpulan Serembu (Birois)
4.Kumpulan Gumbang
5. Kumpulan Tringgus

BUKAR-SADONG

Sub-etnik Bidayuh terbesar ialah Bukar Sadong, yang tinggal di Daerah Serian. Bidayuh Bukar dan Sadong merupakan dua kumpulan yang berlainan tetapi tinggal dalam daerah yang sama, iaitu Serian. Bidayuh Bukar mendapat nama dari perkataan ‘kakar’ yang bermaksud ‘kotor dan sungai yang berlumpur’. Bukar juga nama bagi Sungai. Bibukar tinggal berhampiran dengan Batang Samaharan.Pada masa dahulu, nenek moyang mereka bermigrasi dari Sungkung/ Bugau dan seterusnya ke Tembawang Rutoi. Seterusnya, mereka berpindah ke kawasan baru yang berhampiran dengan sungai dan Gunung Sadong. Lama-kelamaan, sungai tersebut kotor disebabkan haiwan liar dari hulu sungai. Dari peristiwa inilah nama ‘bukar’ wujud.

Bidayuh Sadong mendapat nama sempena Batang Sadong dan Gunung Sadong iaitu sungai dan gunung utama di Serian. Mereka tinggal di sepanjang Batang Sadong termasuklah Batang Kayan, Sungai Kedup, Sungai Suhu dan Sungai Robin yang berhampiran dengan Gunung Sadong. Kumpulan Bidayuh Sadong terdiri daripada beberapa kumpulan kecil. Lazimnya, Bidayuh Bukar-Sadong dikenali sebagai Bidayuh Serian kerana mereka tertumpu di DaerahSerian.

15 KUMPULAN SUB-ETNIK BIDAYUH BUKAR - SADONG

1.Kumpulan Bukar
2.Kumpulan Sambat
3.Kumpulan Mentu
4.Kumpulan Sumpas
5.Kumpulan Temong
6.Kumpulan Taup.
7.Kumpulan Engkeroh.
8.Kumpulan Riih
9.Kumpulan Gahat (Semabang)
10. Kumpulan Suntas
11. Kumpulan Kujang
12. Kumpulan Prangkan
13. Kumpulan Sangai
14. Kumpulan Daha
15. Kumpulan Tepoi

**Kumpulan Tepoi bukannya berasal dari Serian, tetapi berasal dari kumpulan Biannah di Padawan