Thursday, 21 March 2019

Kaum yang hilang di Sarawak

Pada suatu ketika dahulu, sebelum kedatangan Rajah James Brooke ke Sarawak pada 1841, Sarawak dikatakan mempunyai sekitar 60 kumpulan etnik.
Pernahkah anda mendengar etnik Ukit, Sihan, Lahanan, Kejaman, Longkiput, Saban, Sekapan, Tagal, atau Remun?
Sebelum kedatangan Brooke, sesuatu kelompok tidak menggelarkan diri mereka mengikut nama kaum seperti yang kita kenali pada hari ini. Sebaliknya, setiap kelompok menggelarkan diri mereka mengikut batang sungai atau penempatan.
Mengapakah jumlah etnik semakin berkurangan di Sarawak? Adakah sebahagiannya sudah pupus atau hilang dari muka bumi? Jika pupus, apakah faktor yang menyebabkan kepupusan itu?
Ada daripada orang Melayu yang kita kenali pada hari ini sebenarnya berasal daripada kelompok kaum yang pada asalnya bukan beragama Islam. Ketika amalan kahwin campur dan memeluk Islam berlaku di Sarawak sejak berabad-abad lalu sehingga suku ketiga abad lepas, ada yang menyifatkan mereka sebagai masuk Melayu, dan bukannya masuk Islam.
Pada awal abad ke-15, Kesultanan Brunei menjadi begitu kuat dan berpengaruh di Borneo. Pada ketika itu, banyak suku kaum lain seperti Melanau, Kedayan dan kaum Dayak turut menganut agama Islam. Mereka bukan sahaja menganut agama itu, tetapi turut mengamalkan akomodasi, asimilasi dan amalgamasi dari segi sosiobudaya. Ada daripada mereka menggelarkan diri sebagai Melayu apabila sudah menganut agama Islam.
Mengikut catatan pihak Belanda, lama sebelum pemerintahan Belanda, kebanyakan masyarakat Iban di kawasan Kapuas telah “masuk Melayu” dengan memeluk agama Islam, atau telah banyak dipengaruhi oleh budaya Melayu. Gelaran Dayak sebenarnya merupakan ciptaan pegawai dan pengembara Barat, iaitu Belanda dan Inggeris, di sekitar pulau Borneo pada abad ke-19. Tidak syak lagi, orang Dayak yang memeluk Islam menjadi Melayu.
Hal ini turut berlaku kepada orang Pegu, Seru, Kedayan, Melanau dan Bliun. Kaum minoriti Seru yang terdapat di Saribas dipercayai merupakan kaum bukan Melayu awal yang memeluk agama Islam di Sarawak.
Orang Seru merupakan kaum yang lemah dan sering menjadi mangsa kegiatan ngayau atau memotong kepala kaum Iban. Kedatangan orang Melayu memungkinkan mereka mendapat perlindungan. Ekoran daripada itu, ramai wanita Seru mengahwini orang Melayu, dan akhirnya seluruh kaum itu menganut agama Islam, justeru masuk Melayu. Hal yang sama juga berlaku terhadap kaum Bliun di Rejang dan Miri di Baram.
Kaum-kaum berkenaan tidak lagi wujud atau pupus pada awal abad ke-19. Orang Kedayan di Sibuti dan Limbang-Lawas turut memilih untuk masuk Melayu atau menganut agama Islam. Malah, mereka merupakan antara orang terawal di utara Borneo yang menerima Islam walaupun hakikatnya mereka masih menggelarkan diri mereka Kedayan dan mempunyai jati diri yang jelas.
Orang Pegu sebenarnya berasal dari hulu Sadong dan kemudiannya berhijrah ke Santubong. Orang Melayu Samarahan adalah daripada keturunan Pegu. Ternyata, orang Pegu juga telah ‘masuk Melayu’ apabila mereka memeluk agama Islam. Sebagai satu kaum, Pegu sudah lenyap daripada demografi Sarawak ekoran daripada proses asimilasi sesudah mereka memeluk agama Islam.
Asimilasi mutlak atau sempurna dalam kalangan kaum Pegu telah menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti sehingga kemudiannya mereka menjadi Melayu.
Pada hari ini, terdapat tiga kategori Melanau, iaitu Melanau Islam, Melanau Kristian dan Melanau yang masih berpegang kepada kepercayaan lama. Lebih 75 peratus daripada suku Melanau telah memeluk agama Islam dan meninggaklkan adat resam dan rumah panjang mereka hasil kejayaan pemerintahan kesultanan Brunei. Orang Melanau Islam di bahagian ketiga dan keempat kadangkala memanggil diri mereka sebagai orang Melayu dan oleh orang lain meskipun hakikatnya mereka ialah Melanau. Ramai orang Melanau di bahagian pesisir pantai yang sudah terpengaruh dengan kebudayaan Melayu dan memeluk agama Islam dan menyebabkan sesetengahnya dianggap seperti Melayu meskipun ada yang lebih suka mengekalkan identiti mereka sebagai orang Melanau Islam, dengan tidak lagi tinggal di rumah panjang dan tidak lagi mengamalkan budaya dan adat yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Hasil hubungan berkenaan juga, kaum minoriti di Sarawak ketika itu juga memeluk agama Islam, dan turut menggelarkan diri mereka sebagai Melayu, kerana sesudah memeluk Islam mereka menyifatkannya sebagai ‘masuk Melayu’. Hal inilah yang berlaku kepada suku Bliun di Sarikei dan di Tembang Bliun apabila mereka berpeluang berinteraksi dengan orang Melayu dari Sadong dan Simanggang. Malah, hasil perkahwinan campur dengan orang Melayu menyebabkan semua suku berkenaan masuk Melayu.
Selain itu, James Brooke mencatatkan bahawa ramai orang Iban di Lundu telah memeluk Islam menjelang 1939. Malah menjelang, menjelang 1854, mubaligh Kristian, Gomes, menganggap Iban di Lundu telah menggunakan dan mengamalkan bahasa dan budaya Melayu.
Seawal 1860, Iban Balau di Bahagian Kedua, Sarawak, termasuk Anak Pegawai Negeri telah memeluk Islam dan masuk Melayu. Iban di Skrang dan Saribas lebih terdedah kepada budaya Melayu dan agama Islam kerana mereka tinggal di kawasan yang sama. Kedua-dua kaum itu sering berinteraksi, malah mereka terlibat dalam kegiatan bersama seperti kegiatan perdagangan, ketenteraan dan perlanunan. Dalam keadaan demikian, sudah tentu perkahwinan campur dan memeluk agama Islam dalam kalangan Iban lebih mudah berlaku.
Proses asimilasi dan amalgamasi antara etnik bukan Islam turut menyebabkan etnik lain yang kecil pupus atau hampir pupus. Hal ini berlaku terhadap Orang Tatau di Tatau yang tinggal kurang daripada sepuluh orang sahaja lagi yang berdarah totok Orang Tatau, yang sebenarnya berasal dari Kalimantan. Perkahwinan campur antara Orang Tatau dengan orang Punan Kakus dan Beketan yang hidup di sekitar telah menyebabkan Orang Tatau yang mengakamodasikan diri mereka ke dalam masyarakat yang lebih dominan di ambang kepupusan.
Namun, jika ditelusuri dari segi sejarah keturunan dan asal usul, Orang Tatau, Punan Kakus dan Beketan mempunyai hubungan keturunan serumpun, tetapi penghijrahan dan perkahwinan campur telah menyebabkan kaum itu hampir pupus. Adakah Orang Tatau akan mengalami nasib yang sama seperti dialami kaum Seru, Pegu dan Bliun dalam tempoh kurang daripada dua dekad?.
Kepupusan setiap etnik adalah satu kehilangan besar dari segi warisan bangsa. Jika sesuatu kumpulan etnik pupus, bermaksud hilang bersama kaum itu ialah khazanah yang amat berharga. Apabila sesuatu kaum pupus, maka pupus bersama-samanya ialah bahasa, budaya, kepercayaan, adat resam dan seluruh memori kolektif kaum itu. –

Wednesday, 20 March 2019

Kisah Cerita Dan Sejarah Ringkas Tasik Biru Di Daerah Kecil Bau
Dahulunya, Tasik Biru yang terletak di Daerah Kecil Bau merupakan lombong emas yang terkenal di negeri Sarawak.
Pernah satu ketika, Tasik Biru dikeringkan semula untuk mengorek emas oleh syarikat negara asing. Mungkin ramai yang tidak tahu, tasik ini menyimpan emas yang paling cantik serta berkualiti di dunia. Pernah satu ketika berlaku pemendapan di beberapa buah tempat di kawasan Bau termasuklah tapak lama Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Bau disebabkan perlombongan semula di tasik ini. Akibat daripada pemendapan itu, penduduk di sini marah lalu membantah kerja-kerja melombong semula. Setelah mendapat bantahan daripada penduduk tempatan, akhirnya pada tahun 1998, air diisikan semula ke dalam tasik ini dan kerja-kerja melombong dengan rasminya ditutup. Berikutan itu, pemendapan berhenti dengan serta merta.
Lagenda Tasik Biru di Bau Sarawak.
Tasik Biru di Bau, Sarawak yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandaraya Kuching.Mengikut cerita dongeng penduduk setempat, tasik ini dikatakan menjadi habitat kura-kura emas yang menyebabkan ia menjadi tumpuan ramai. Dan daripada cerita mitos pula, dikatakan Tasik Biru ini dikaitkan dengan misteri kemunculan tiga raksasa sekitar tahun 1988 yang dikatakan berukuran tiga meter panjang berenang di bawah permukaan tasik mengakibatkan pemandangan cantik ini tampak suram dan menyeramkan. Malah keindahan tasik itu membuatkan penyair Kemala atau Ahmad Kamal Abdullah mengabadikannya dalam sajak 21 baris bertajuk Tasik Biru. Sajak beliau menjadi sebahagian daripada teks mata pelajaran sastera bagi penuntut Tingkatan Satu. Tasik Biru sebenarnya bukanlah tasik semula jadi kerana ia terbentuk daripada aktiviti perlombongan emas yang dijalankan oleh Borneo Company pada 1898. Namun, operasi lombong itu ditutup ekoran banjir yang melanda pada tahun 1921 sehinggalah ia dibuka semula kepada umum pada 21 April 2001 tetapi sebagai lokasi pelancongan. Sejak itu, tasik yang memiliki kedalaman 91 meter dan meliputi keluasan kira-kira enam hektar mula dikenali ramai. Sebagaimana tasik lain, tasik yang menjalani kerja pembesaran pada tahun 2000 itu mampu menggamit pelancong untuk singgah sebentar bagi menikmati pemandangan di situ. Nama asalnya dikenali sebagai Tasik Tai Parit sebelum ditukarkan menjadi Tasik Biru pada 1970-an. Keindahan Tasik Biru tergugat selepas kemalangan membabitkan sebuah bas sekolah yang terjatuh ke dalam tasik ini dan mengorbankan 28 pelajar termasuk dua guru pelatih pada akhir 1980-an. Selepas kejadian itu, Tasik Biru ditutup dan kegiatan melombong emas dijalankan semula sehinggalah awal tahun 2000.
Kini tasik ini dihidupkan semula dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti tandas, kedai makan, taman rekreasi dan sebagainya. Ia dibuka kepada orang ramai yang ingin beriadah sambil menikmati udara segar sambil melihat sendiri tasik buatan manusia yang kebiru-biruan sambil merenungi sejenak sejarah yang tersirat di dalamnya.